
Jakarta, Selasa, 25 Januari 2011 - Majelis Ulama Indonesia (MUI) hari ini telah mengeluarkan Sertifikat Kesesuaian Syariah (Sijil Patuh Syariah) kepada syarikat latihan Sumber Daya Manusia, ESQ Leadership Center yang mempunyai anak syarikatnya di Malaysia dan mempunyai seramai lebih 1 juta alumninya (peserta yang pernah menghadiri pelatihan) di seluruh dunia.
“MUI telah menjalankan kajian secara terperinci tentang ESQ Training serta buku ESQ sejak bulan Ogos 2010 dengan pembiayaan oleh MUI sendiri. Kajian bukan sahaja kami hadkan di Indonesia, tetapi kami turut menghantar pegawai kami ke Malaysia untuk mengkaji material latihan serta buku edisi Bahasa Malaysia” ulas Dr Cholil Nafis, Sekretaris Komisi (Setiausaha Bahagian) Pengkajian dan Penelitian, MUI.
Menurut Dr Cholil lagi, MUI mula menjalankan kajian tentang ESQ setelah mendapat aduan dari orang ramai yang mahukan pengesahan yang jelas dari badan yang berotoriti di dalam bidang agama di Indonesia apakah latihan serta buku ESQ menepati kehendak Syariah dan juga termasuk soal Aqidah.
Setelah penelitian dijalankan oleh pasukan khas yang dibentuk dibawah Komisi Fatwa MUI dan MUI berpuashati, hari ini MUI telah mengeluarkan sijil Patuh Syariah yang disahkan oleh KH Ma’ruf Amin selaku Ketua dan Drs. H.M Ichwan Sam selaku Sekretaris Jenderal.
ESQ Training telah menjadi pendekatan penting sejak lebih sepuluh tahun yang lalu di Indonesia dan lebih empat tahun di Malaysia untuk membentuk karakter dan membentuk landasan moral melalui program latihan karakter 4 Tahapnya selama 9 hari yang mengintegrasikan kecerdasan intelektual, emosional dan spiritual berlandaskan ihsan, 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam. Selama ini bidang sumber daya manusia banyak merujuk kepada teori Barat sementara ESQ membawa nilai-nilai Islam ke dalam dunia sumber daya manusia atau modal insan.