Shah Alam, 18 Mei 2011 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan projek khas di bawah program Sukarelawan Masyarakat PPIM-Alumni ESQ. PPIM dengan jumlah ahlinya mencecah 2.5 juta orang bersinergi dengan Alumni ESQ (yang telah mencecah hampir 80 ribu orang di Malaysia dan 1.2 juta orang di seluruh dunia dengan penyertaan lebih 4000 syarikat) dibawah program Sukarelawan Masyarakat
ini dalam usaha melahirkan sukarelawan yang proaktif dalam membantu membentuk karektor bangsa yang berpegang pada nilai-nilai murni seperti jujur, tanggungjawab, berwawasan, disiplin saling bekerjasama, adil dan prihatin.
Alumni ESQ yang didokong oleh para cendikiawan Islam, pemikir, tokoh korporat, pegawai tinggi Kerajaan serta para pemimpin masyarakat yang majoritinya berbangsa Melayu yang berpendidikan dan menjadikan Islam sebagai teras perjuangan, sementara PPIM yang mempunyai ahli gabungan NGO Islam terbesar tanah air termasuk dari Majlis Permuafakatan Ayahanda Malaysia yang jumlahnya hampir mencecah 2.5 juta orang menjadikan permuafakatan ini satu anjakan baru yang boleh mengubah lanskap ekonomi dan permasalahan ummah.
Jalinan hubungan ini dilihat sebagai satu jambatan bagi sukarelawan untuk bergerak lebih aktif dalam merangka program-program kemasyarakatan serta menyelesaikan permasalahan ummah dengan lebih tersusun dan berkesan.
Antara contoh program yang dirangka termasuklah program menjana transformasi minda Mat Rempit dari kegiatan negatif kepada yang lebih positif dimana golongan ini akan didedahkan dengan formula khusus yang perlu diaplikasi dalam kehidupan seharian mereka agar terbentuk karektor peribadi yang unggul dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan ummah.
Formula khas yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah ini diwujudkan hasil kesepakatan diantara alumni ESQ dan aktivis PPIM disamping mendapat bimbingan dari para cendekiawan dan ulama tersohor Malaysia seperti Tan Sri Harussani Zakaria, Barisan Panel Shariah PPIM dan Barisan Panel Shariah ESQ.
Selaras dengan hasrat negara dalam memartabatkan transformasi minda dan budaya, gabungan kuantiti ahli yang ramai yang dipelopori oleh PPIM serta kualiti ahli yang berdayafikir serta dipandu oleh Al-Quran dan As-Sunnah sudah pasti gabungan ini akan menjadi satu anjakan yang baru untuk dinilai oleh rakyat keberkesanannya kearah melahirkan tamadun bangsa yang unggul berteraskan Islam sebagai paksinya menuju Negara Malaysia maju 2020.
Sebarang maklumat, hubungi Cik Shira di talian 012-3785052 atau Faedzah Fuad di talian 019-9130000.[End]